Friday, February 27, 2009

Apakah undang-undang yang melibatkan radiasi di Malaysia?

Seperti di peringkat antarabangsa yang mempunyai IAEA (International atomic Energy Association), Malaysia mempunyai badan tersendiri untuk mengawal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan bahan radiasi seperti bahan radioaktif dan radas penyinaran. Badan yang diberi tanggungjawab tersebut adalah AELB / LPTA (Atomic Energy Licencing Board / Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia).



Dari segi perundangan, akta pertama yang diluluskan dalam tahun 1968 dikenali sebagai Akta Benda-benda Radioaktif (Akta 250) adalah tidak menyeluruh dan lebih cenderung kepada pengawalan penggunaan sinaran dalam perubatan.

Berikutan penggunaan sinaran yang lebih meluas pada akhir 1970an, akta baru diluluskan oleh parlimen dan dipanggil Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Ia mula dikuatkuasakan pada 1 Februari 1985. Pada masa kini, akta ini terletak dibawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).


Oleh itu sesiapa yang ingin memiliki, menghasil dan menggunakan bahan radioaktif ataupun radas penyinaran mestilah mendapat lesen terlebih dahulu daripada LPTA. Antara kelas-kelas lesen yang dikeluarkan oleh LPTA adalah:

Kelas A: Untuk membuat, memindah,menghasilkan, memproses, membeli, memiliki, mempunyai, mengguna, menjual dan menyimpan BAHAN RADIOAKTIF.

Kelas B: Untuk membuat, memindah,menghasilkan, memproses, membeli, memiliki, mempunyai, mengguna, menjual dan menyimpan BAHAN NUKLEAR.

Kelas C: Untuk membuat, memindah,menghasilkan, memproses, membeli, memiliki, mempunyai, mengguna, menjual dan menyimpan RADAS PENYINARAN.

Kelas D: Untuk PENGANGKUTAN bahan radioaktif, bahan nuklear dan sisa

Kelas E: Untuk IMPORT/EXPORT bahan radioaktif, bahan nuklear dan sisa

Kelas F: Untuk mengoperasikan PEPASANG NUKLEAR

Kelas G: Untuk MENYIMPAN dan MELUPUSKAN bahan radioaktif, bahan nuklear atau sisa.

Kelas H: Aktiviti selain kelas A hingga G dan maintenance





Thursday, February 19, 2009

Adakah mata anda sensitif terhadap radiasi?

Mata adalah organ penglihatan yang amat penting kepada manusia. Penjagaan mata yang baik boleh menjamin kita untuk terus melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Selain tabiat penglihatan dan pemakanan mempengaruhi kesihatan mata, radiasi juga boleh mengancam kesihatan mata kita.

kanta mata

Persoalannya setakat manakah had dos selamat yang boleh diterima oleh mata kita? Sebenarnya mata kita mempunyai kekuatan yang lebih berbanding organ-organ lain selain tangan dan kaki. Bagi pekerja sinaran, dos setara yang boleh diterima oleh mata ialah 150msV setahun. Manakala bagi orang awam mestilah tidak melebihi 15mSv setahun.

kanta mata yang mengalami katarak

Jika kita terdedah kepada dos yang lebih tinggi, kemungkinan untuk mendapat penyakit mata sepeti katarak adalah tinggi. Katarak adalah penyakit mata yang merosakkan kanta mata dan menyebabkan kita buta. Oleh sebab itulah penting bagi kita untuk menjaga setiap organ kita dari terdedah kepada radiasi walaupun organ tersebut mempunyai kekuatan yang lebih berbanding organ lain.

Wednesday, February 18, 2009

Kesan Radiasi Terhadap Sel-sel......

Apabila badan kita terdedah kepada radiasi, maka beberapa mekanisma akan berlaku dan memberi kesan terhadap sel-sel dalam badan. Sel-sel akan mengalami kerosakan atau kematian. Kematian sel bukan sesuatu yang asing sebab itu adalah sifat tabii sel. Tetapi apabila kematian sel berlaku secara berterusan dengan jumlah yang banyak, maka badan tidak mampu menghasilkan sel pengganti. Situasi seperti ini akan mengundang situasi buruk kepada sistem badan manusia. Orang awam sepatutnya menerima had dos tahunan tidak melebihi 1mSv setahun.

Pekerja sinaran

Umumnya radiasi lebih sensitif kepada sel-sel yang giat membahagi dan mengalami pertumbuhan. Dalam tubuh manusia, organ yang paling banyak sel-sel aktif membahagi adalah bahagian organ pembiakan. Oleh sebab itulah kita disaran melindungi organ pembiakan kita semasa melakukan pemeriksaan yang melibatkan radiasi sepeti imbasan sinar x, ct-scan. dan lain-lain Pekerja-pekerja yang terlibat dengan radiasi seperti mengendalikan bahan radioaktif juga perlu menjaga organ pembiakan khususnya serta organ-organ lain. Bagi pekerja yang terlibat dalam bidang radiasi, had dos tahunan mestilah tidak melebihi 50mSv setahun.

Ibu mengandung

Bayi dan kanak-kanak juga mempunyai sel-sel yang giat membahagi disebabkan mereka sedang dalam proses pertumbuhan dan tumbesaran. Golongan ini perlu dielakkan dari terkena radiasi yang tidak perlu kerana badan mereka cukup sensitif. Begitu juga dengan fetus dalam kandungan. Sel-sel fetus juga giat membahagi dan sebab itulah ibu mengandung dielakkan dari sebarang radiasi dan jika terpaksa mesti mendapatkan nasihat doktor atau pakar untuk terus melakukan pemeriksaan yang melibatkan radiasi. Penerimaan radiasi berlebihan boleh membawa kecacatan kepada fetus selepas dilahirkan. Had dos yang disarankan kepada fetus adalah tidak melebihi 1mSv.

Fetus